“Kesilapan Saya Tak Sensitif Dengan Isu Ini”- Sheila Rusly Mohon Maaf Guna Gambar Kahwin Lama Bella & Nazim Othman

Hiburan

Pelakon Bella Dally mengakui tidak puas hati dengan tindakan syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd kerana menyunting gambar perkahwinannya dengan bekas suami, pelakon Nazim Othman dan digantikan dengan wajah pelakon Emma Maembong dalam telefilem Silang yang ditayangkan hujung minggu lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Bella menjelaskan perkara itu diketahuinya selepas mendapat kiriman mesej daripada beberapa kenalan selain ia turut tular di laman sosial.


Sehubungan itu, Bella menghubungi penerbit drama itu, pelakon dan penerbit Sheila Rusly dengan menghantar mesej di aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan pencerahan mengenai perkara itu.

“Saya mendapat banyak mesej peribadi (DM) daripada rakan, keluarga dan peminat mengenai perkara ini. Saya tahu, anda juga mempersoalkan perkara sama.

“Bagi saya, ia seperti tidak menghormati saya dan perlu diselesaikan. Saya tidak puas hati, jadi saya secara sendiri menghubungi Sis Sheila.

“Dia dan props master meminta maaf. Saya maafkan mereka kerana kita manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan,” katanya.

Menerusi status dimuat naik Bella, dia berharap mana-mana pihak tidak mengambil mudah perkara sebegitu dan mengambil kesempatan.

Dalam masa sama, Bella turut memuat naik paparan perbualan antara dirinya dengan Sheila Rusly.

Sheila mengakui kesilapan dibuat pasukannya dan tampil memohon maaf.

“Maaf, bagi pihak pasukan saya minta maaf. Saya akan minta props master minta maaf.

“Kesilapan saya juga sebab tak sensitif dengan isu ini. Maaf sekali lagi,” tulisnya.

Sementara itu, Fawwaz daripada bahagian seni telefilem itu turut menghantar mesej permohonan maaf pada Bella.

“Assalamualaikum, maaf ganggu. Saya Fawwaz, Art Department dari telefilem Silang JS Pictures Sdn Bhd.

“Saya ingin memohon maaf atas kesilapan menggunakan gambar kahwin awak untuk disunting sebagai bahan prop dalam telefilem itu,” tulisnya.

Telefilem arahan Azman Yahaya atau Jinggo itu menampilkan Nazim Othman dan Emma Maembong selaku watak utama.


Sumber: Harian Metro