“Memang kalau ikutkan Diana yang dulu…kalau boleh tak nak ingat pun”- Kasih Nabi Buat Diana Amir Kekal Istiqamah

Hiburan

Tidak adil menyelar golongan artis sebagai munafik dan tidak patut dicontohi kerana dalam butiran kaca yang dinilai netizen, masih terdapat permata yang tinggi nilainya.

Diana Amir, merupakan salah satu permata itu. Menilai secara kasar penampilan pelakon filem Aku Masih Dara ini, tudungnya labuh menutupi dada, pakaiannya juga longgar dan dia juga menjaga aurat lengan serta kakinya.

Hakikat yang harus ditelan dan bakal membuatkan ramai wanita terpukul, penampilan Diana juga lebih sopan daripada kebanyakan kita.

Berbual bersama Diana pada petang Selasa lalu, kata pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim itu, apa yang dilalui selama lapan tahun mengenakan tudung, tidaklah semudah banyak mata yang menilai. Bahkan, sehingga hari ini, pada usia 33 tahun, hatinya masih berbolak-balik.

“Biasalah hati kita sifatnya berbolak-balik. Sampai sekarang godaan itu masih ada. Tengok orang lain cantik dan sebagainya. Tetapi, saya kembali berfikir mesti ada sebab kenapa Allah suruh kita berhijab. Kita nak hijrah ini niatnya mesti kerana Allah tak boleh kerana lain. Kalau kita kenal sifat Allah, tahu kebesaran-Nya dan kemurkaan-Nya, Insya-Allah kita kekal istiqamah,” ujar Diana yang mengambil keputusan berhijab pada tahun 2011, ketika usianya 25 tahun.

Serap elemen positif

Benar, hadirnya pelakon kelahiran Birmingham, England itu dalam industri hiburan bukannya sedia bertudung seperti Heliza Helmi, tetapi perbezaan itu yang menyamai Diana dengan Heliza sekarang.

“Memang kalau ikutkan Diana yang dahulu…kalau boleh tak nak ingat pun, tetapi apabila Allah nak bagi hidayah, Dia boleh terus menukarkan hati kita. Sebenarnya, nak kekal istiqamah ini juga kita perlukan orang di sekeliling kita yang baik dan positif,” luahnya yang bersyukur kerana selepas mengambil keputusan berhijab dia menyertai kelas Usrah Fitrah untuk mendalami ilmu agama.

Semangat pelakon cantik itu dalam menyusun kata-kata, dilihat begitu jujur. Tiada tanda riak, bahkan jauh sekali untuk menghakimi sesiapa.

Menyambung bicaranya, Diana juga mengakui, agak mencabar hidup di alam media sosial ketika ini. Kata anak keempat daripada 10 adik-beradik itu, jika terlalu mengikut kata-kata negatif orang, mungkin sedikit sebanyak akan memberi kesan ke atas diri.

“Kalau otak kita nak benda yang tidak elok, maka benda itulah yang diserap ke dalam hati. Block benda-benda negatif tersebut. Sebaliknya, carilah sudut positif. Fikirlah ramai lagi orang yang diuji lagi teruk daripada kita, tetapi kenapa mereka masih istiqamah?

“Memang saya akui pada awalnya hati tidak begitu kuat. Tetapi selepas mendengar kata-kata seorang teman, saya terus istiqamah. Dia bercerita tentang kasih sayang Rasulullah terhadap kita terlalu tinggi, waima ketika hendak wafat, beliau masih terfikir tentang umatnya dan tidak mahu kita merasai sakit yang sama dirasainya. Saya pula ketika itu masih hidup ‘sesuka hati’,” kongsinya yang membuatkan kolam matanya mula berlinangan.

Bertudung juga bukan disebabkan dek termakan pujian orang atau kerana seseorang. Jika itu yang dilakukan, maka hati mudah goyang dan sukar untuk istiqamah. Itulah antara pesanan Diana lagi sebagai benteng untuk menjadi Muslimah sejati.

Masih berlakon

Berkongsi soal karier lakonan pula, tidak timbul soal berhenti berlakon dalam hidup Diana. Rindu yang menebal pada bidang lakonan membuatkan pelakon yang kali terakhir muncul menerusi drama Cinta Ilahi pada 2014 itu, masih menaruh harapan agar menerima tawaran yang sesuai dengan batasnya sebagai isteri dan wanita Muslimah.

Pada masa sama, Diana juga mengakui, faktor memiliki anak dengan jarak umur yang dekat menjadi sebab dia dilihat seolah-olah sudah meninggalkan dunia lakonan.

“Sejujurnya saya masih mahu berlakon, asalkan ada batasannya. Alhamdulillah, suami juga mengizinkan saya berlakon asalkan ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya yang dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Khawlah Al-Azwar, 4, Khadija Azzehra, 2, dan Muhammad Khalid, tiga bulan.

Meskipun menyimpan keinginan untuk kembali aktif berlakon, namun buat masa ini Diana mahu memfokuskan diri terhadap keluarganya dulu, lebih-lebih lagi anak ketiganya masih kecil dan menyusu badan.

“Bagaimanapun, jika ada tawaran sebagai pengacara saya sedia mempertimbangkannya kerana masa mengacara lebih flesibel,” ujarnya yang pernah mengacarakan program bual bicara di Astro Oasis pada tahun lalu.

Bantuan Bosnia

Dalam pada itu, Diana menyeru kepada orang ramai untuk menghulurkan bantuan kepada Bosnia Herzegovina sempena menjayakan kempen Projek Squad Celebrity Global Volunteers.

“Bantuan untuk misi kemanusiaan itu masih lagi dibuka dan sesiapa yang mahu menderma boleh berbuat demikian menerusi laman web Islamic Relief atau ada link di Instagram @dianaamir iaitu bit.ly/donate-squard,” ujarnya yang merupakan antara 12 selebriti yang terpilih untuk menyertai misi kemanusiaan di bawah Islamic Relief Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Ukhwah 4 Ummah di empat buah negara iaitu Afrika, Bosnia Herzegovina, India dan Filipina

Selain Diana, barisan selebriti tempatan yang turut terbabit dalam projek berkenaan ialah Irma Hasmie, Redza Shah, Lufya Omar, Farah Lee, Ashraf Muslim, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Zoey Rahman, Lah Ahmad, Nadia Sabrina dan Dhirar Zainal.

sumber: kosmo