” Solat Hajat Dilakukan Di Lokasi Terakhir Dia Ditemui ” – Antara Usaha Ahli Keluarga Ashraf Lakukan Setelah 6 Hari Masih Tidak Temui.

Pelbagai usaha dijalankan untuk mencari peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang semasa menyertai perlumbaan itu Sabtu lalu.

Menurut Gopeng Ultra Trail (GUT) menerusi postingnya di laman Facebook, pelbagai cara dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat untuk mencari Mohamad Ashraf dan pencarian mangsa berterusan sehingga kini.

Solat hajat turut dijalankan di lokasi terakhir ditemui.

Katanya, pihak mencari dan menyelamat juga telah melakukan operasi yang merangkumi kawasan Kampung Chulek, Kampung Jahang, Gua Tempurung dan sungai berhampiran.

Image may contain: 3 people, outdoor, water and nature

“Selain daripada pihak berkuasa, krew GUT, salah seorang peserta, Dewi yang turut terlibat dalam pertandingan itu membantu pencarian ini.

“Malah, keluarga Mohammad Ashraf juga melawat ke lokasi dikatakan kali terakhir mangsa dijumpai untuk melakukan solat hajat. Tolong terus mendoakan keselamatan Mohammad Ashraf. Untuk Acap teruskan bertahan, semoga terus kuat, kami datang untuk selamatkan kamu,” tulisnya.
GUT berkata, pencarian Mohammad Ashraf masih diteruskan pada hari ini yang masuk hari keenam oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), sukarelawan, penduduk kampung dan krew GUT.

Image may contain: one or more people, water and outdoor

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman (kanan) melihat pengoperasian anggota mencari dan menyelamat di pos kawalan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Mohammad Ashraf Hassan, 29, graduan Nilai International University College memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu.

Operasi mencari kemudiannya digerakkan bermula di check point 6, lokasi terakhir mangsa yang bekerja sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar dilihat iaitu kira-kira 12km dari garis mula.

Sementara itu , Pusat Rawatan Darussyifa’ Perak menyarankan supaya operasi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak Sabtu lalu diteruskan menggunakan khidmat pasukan penyelamat dan perubatan Islam.

Pengarah Darussyifa’ Perak, Mohamad Najib Mat Lazim berkata, merujuk kepada tempoh kehilangan yang sudah masuk hari keenam dan persekitaran lokasi mangsa disyaki hilang, ada kemungkinan kes itu berkait rapat dengan gangguan makhluk halus.

“Ini tidak mustahil berlaku kerana sebelum ini pun, sudah ada kes hilang dalam hutan akhirnya ditemui dan berada dalam keadaan seperti itu.

“Jadi ada baiknya teruskan dengan kedua-dua cara ini, jangan berhenti. Moga dengan cara itu mangsa dapat ditemukan segera dan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, antara amalan yang boleh dipraktikkan adalah seperti membaca surah Yassin, bacaan ruqyah dan solat hajat.

“Ahli keluarga paling penting terutama ibu, sebab daripada apa yang kita pelajari, doa seorang ibu ini tiada hijab.

“Jika nak berdoa dan solat di lokasi mangsa hilang juga boleh kerana itu amalan biasa kita lakukan dalam berikhtiar menyelamatkan mangsa hilang,” katanya.

Mohamad Najib berkata, makhluk halus bukanlah satu kepercayaan tetapi diyakini wujud terutama di tempat-tempat lapang yang ditinggalkan seperti hutan dan di atas bukit.

“Dalam masyarakat Islam, bacaan ayat-ayat suci al-Quran adalah cara terbaik bagi menghindari makhluk halus ini,” katanya.

Meskipun telah hampir seminggu Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail dilaporkan hilang, ahli keluarga masih menaruh harapan tinggi mangsa dapat ditemui dengan selamat.

Kakak Mohammad Ashraf, Siti Norizan, 36, berkata, keyakinan itu berdasarkan usaha tidak putus-putus pelbagai pihak yang membantu misi mencari dan menyelamat mangsa, sejak hari pertama kehilangannya dilaporkan.

Menurutnya, sokongan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban ditanggung keluarga sekali gus memberi semangat bahawa mangsa dapat diselamatkan.

“Semoga dengan berkat doa rakyat Malaysia termasuklah mereka yang melakukan solat hajat, adik saya dapat ditemui secepat mungkin dalam keadaan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ahli keluarga juga terharu dengan komitmen tinggi ditunjukkan pasukan penyelamat, pihak penganjur dan orang awam yang meneruskan usaha mencari walaupun hingga kini masih menemui jalan buntu.

“Kami terharu dengan sokongan padu diberikan. Bagi pihak keluarga, saya ucapkan terima kasih atas usaha tidak putus-putus mencari adik saya ini,” katanya.

Mohammad Ashraf yang bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar, Johor disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25km.

Kehilangan anak kelima daripada tujuh beradik itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang turut mendoakan usaha mencari dan menyelamat menemuinya dalam keadaan selamat.

Selain pasukan penyelamat, usaha mencari turut diikhtiarkan menerusi pengamal perubatan Islam. Penduduk kampung dan jemaah masjid juga melakukan solat hajat agar urusan operasi dipermudahkan.

Terdahulu, Polis Perak memaklumkan, Operasi Menyelamat (Op SAR) yang sepatutnya ditamatkan semalam dilanjutkan hingga Sabtu ini.

Sumber:sinarkampus

Via sinar

 

Jangan Lupa Claim Free Shipping Shopee https://shp.ee/d5pvxcf