Tiub Falloppian Di Buang, Sari Yanti Bersyukur Masih Boleh Hamil Walau Sekali Lagi Keguguran.

Pelakon terkenal dan juga isteri kepada Pelawak, Jep Sepahtu, Sari Yanti dikhabarkan telah mengalami keguguran buat kali kedua selepas melangsungkan perkahwinan dengan Jep. Kali pertama Sari mengalami keguguran sebelum melahirkan puterinya Dariya Inara setahun yang lalu. Keguguran kali pertama berlaku kerana Sari mengandung di luar rahim sehingga menyebabkan Sari terpaksa membuang salah satu tiub fallopiannya.

Berita keguguran kali kedua ini telah dikongsi oleh Jep melalui laman Instagramnya semalam, “Minggu lepas abah bawa Eya teman mama pergi hospital nak tengok adik. Adik Eya dah nak masuk 3 bulan dah. Sekali masa check up haritu doktor bagitau adik Eya tak bergerak lagi dah. Doakan mama Eya selamat operation hari ini ya,” kongsi Jep.

Ketika bertemu dengan Sari Yanti ketika majlis Pop Look Gives Back With Sari Yanti x HOPE Worldwide Malaysia baru-baru ini, sempat bertanyakan tentang perancangan Sari untuk menimang cahaya mata. Nyata ketika itu Sari berkata tidak menolak jika rezeki untuk menambah anak diizinkan olehNya. Mungkin belum rezeki lagi Sari untuk menambah anak ketika ini. Sari juga antara wanita yang bertuah apabila disahkan hamil walaupun hanya tinggal satu tiub fallopian. Cuma belum ada rezeki lagi Dariya dapat adik.

Manakala Sari pula telah berkongsi di laman Instagramnya apabila terpaksa berpisah sementara dengan anak kesayangannya, Dariya dengan menghantarnya ke kampung mungkin kerana terpaksa bermalam di hospital.

Sayu hati Sari apabila Dariya yang pandai membawa diri minum susu menggunakan botol kerana selama ini puterinya itu tidak pernah minum susu menggunakan botol. Teringat ketika temu bual bersama Sari yang mengatakan pernah cuba memberikan Dariya minum susu ibu menggunakan botol tetapi ditolak lembut oleh Dariya yang digelar ‘Yaya Girl’ oleh Sari.

Semoga Sari cepat sembuh dan pulih seperti biasa.

Sumber : Nona