Adakah Malaysia Sedia Untuk Tamatkan PKPB? Pandangan Pakar Kemungkinan Perlu Lanjut Lagi 2 Minggu.

Semasa Tempatan

ADAKAH kerajaan perlu melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas 9 Jun depan?

Itu persoalan mungkin bermain di minda segenap lapisan masyarakat Malaysia yang mendapat impak langsung virus pandemik Covid-19.

Hakikat harus diakui bahawa majoriti penduduk sudah semakin dapat mengadaptasi sebahagian normal atau kelaziman baharu dalam kehidupan seharian.

Contoh mudah, rata-rata kekok jika tidak menggunakan pelitup muka ketika keluar rumah untuk apa saja tujuan termasuk membeli barangan keperluan di pusat membeli-belah, makan di restoran, mendapatkan rawatan di hospital atau beriadah.

Tahun 2020 sudah memasuki bulan Jun dan jumlah pesakit direkodkan positif dijangkiti Covid-19 mencecah enam juta orang di seluruh dunia yang bermakna secara purata satu juta dijangkiti setiap bulan.

Untuk rekod, di negara ini PKPB bermula 4 Mei lalu menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac.

PKPB memberikan kelonggaran beberapa sektor beroperasi semula bagi menggerakkan ekonomi negara. Sejauh mana keputusan tamat atau sambung PKPB memberikan implikasinya terhadap kehidupan dari aspek kesihatan, ekonomi dan sosial?

Inisiatif pendidikan bersifat inklusif kepada semua | Nasional ...

Pakar sosial Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sebagai masyarakat keutamaan adalah keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan secara keseluruhan.

 

“Bagi saya tarikh tamat adalah relatif. Apa yang paling penting kepastian apabila kita tidak melanjutkan PKPB adalah jaminan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Sekiranya keadaan itu tidak dapat dipastikan secara komprehensif atau yakin maka adalah wajar untuk pihak kerajaan mempertimbangkan melanjutkan PKPB.

“Kita sudah berada dalam landasan tepat, sekiranya kerajaan merasakan PKPB perlu dilanjutkan, dimohon masyarakat bersabar dan memahami rasional mengapa demikian,” katanya.

Mengenai kelaziman baharu, jelasnya, dalam konteks sosial apabila perkara baharu diperkenalkan memang akan mendapat bantahan pada mulanya.

Tetapi apabila ia dibuat selalu dengan justifikasi mengapa dan kenapa dihuraikan berulang kali, dalam masa tertentu masyarakat akan menerima dan mengadaptasi perbuatan itu dan akhirnya ia menjadi satu perkara biasa.

Penganalisis ekonomi, Prof Dr Mohamad Hanapi Mohamad berpendapat Malaysia sudah boleh bersedia untuk menamatkan PKPB dengan kawalan kendiri.

“Prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), patuhilah dengan kawalan kendiri yang tinggi.

“Aktiviti ekonomi perlu diteruskan dan dipacu dengan cara baharu. Contoh mudah, bagi yang pergi berkebun, buat bendang, ke laut, dusun tetapi cara jual beli hasil sudah tidak seperti dahulu.

“Saya nampak positif ruang besar ekonomi dalam talian dan digital. Malah sejarah gergasi e-dagang China, Alibaba ia ‘meletup’ selepas epidemik Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sekitar 2002 hingga 2003,” katanya.

Mungkin Perlu Lanjut Dalam Tempoh 2 Minggu

Bagi pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang juga Pakar Virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar berpandangan PKPB mungkin perlu ditambah tempoh dua minggu lagi dengan banyak lagi sektor boleh dilonggarkan sekatan.

Ini katanya, untuk memastikan tiada lagi kelompok pembawa virus yang tersorok atau kes sporadik tidak diketahui punca tersebar dalam komuniti.

Apa pun, pastinya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kira setiap sudut pandangan sebelum mengumumkan sebarang keputusan kolektif untuk menyambung atau menamatkan PKPB selepas 9 Jun ini.

Walaupun beliau dikuarantin 14 hari sejak 22 Mei lalu namun segala perkembangan terkini Covid-19 dilaporkan secara terperinci Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber Hmetro