“Atuk Saya Fasih Bahasa Tamil”- Lucu, Atuk Cakap Bahasa Tamil Buat Alasan Pada Doktor Tidak Mahu ke Hospital .

Hiburan Santai

TIDAK dinafikan kebanyakan warga emas atau orang tua memang susah untuk dibawa ke hospital bagi mendapat rawatan.

Bukan perkara pelik, tetapi inilah realiti yang sering berlaku dalam kalangan warga tua yang pasti akan memberikan 1001 alasan untuk mengelak daripada dibawa berjumpa doktor.

Sebuah video tular mengenai seorang warga emas yang enggan pergi ke hospital mencuit hati pelayar-pelayar media sosial yang menganggap ia sebagai sangat comel.

Menurut Adibah Rosli, 22, yang memuat naik video itu, datuknya, Surip Taruak, 81, telah dibawa ke sebuah klinik di Tangkak, Johor, pada malam Ahad kerana tidak sihat.

 

Atok Surip (tengah) bersama cucu-cucunya pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

“Sebelah pagi tu atuk turut terlibat dengan korban hari Raya Aildiladha. Mungkin cuaca panas dan penat, sebelah malamnya dia tidak sihat.

“Dia tak nak pergi hospital, jadi mak cik bawa pergi ke klinik 24 jam. Tapi doktor suruh atuk pergi hospital untuk rawatan susulan kerana hidungnya berdarah.

“Atuk takut dan dia bersungguh yakinkan doktor bahawa dia sudah sihat, boleh balik dan rehat kat rumah sahaja. Atuk cakap dia dah sihat, sakit sikit-sikit je… tak payah pergi hospital,” kata Adibah kepada mStar.

Menurut Adibah, berlaku satu babak yang tidak disangka-sangka apabila datuknya mula bercakap bahasa TamilĀ untuk menyakinkan doktor bahawa dia tidak perlu pergi ke hospital.

“Apabila videonya jadi viral, atuk hanya cakap bertuah punya cucu sambil gelak. Saya pun tak sangka video ini jadi viral,” kata penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Adibah berkata, hubungannya dengan Surip memang rapat kerana sejak kecil lagi mereka tinggal bersama. Sekatat ini Surip mempunyai 21 cucu dan lima cicit.

Atuk Surip amat rapat dengan cucu-cucunya dan sentiasa memberi nasihat.

Video berdurasi 11 saat itu menjadi viral apabila Surip bercakap dan cuba memujuk doktor India yang bertugas dalam bahasa Tamil.

Dalam perbualan mereka, datuk Adibah memberitahu doktor bahawa dia tidak mahu menyusahkan isterinya, Mismah Ramin, 79 dan juga ibunya.

Menjawab alasan Surip, doktor memberitahu bahawa mereka berdua sanggup datang ke hospital bagi melawatnya.

Namun datuknya membalas dengan memberitahu doktor bahawa mereka sedang demam.

“Siapa yang demam?,” tanya doktor.

“Isteri dengan mak dia,” kata warga emas itu.

Adibah memberitahu, sehingga dewasa datuknya sering memberi beberapa nasihat penting dalam kehidupan seharian.

“Atuk selalu pesan suruh belajar rajin-rajin. Jangan percaya scam internet sebab atuk selalu tengok cerita ‘Gerak Khas’.

“Dia juga menasihati kepada kami supaya jangan keluar malam dan jangan hisap dadah,” ujar Adibah yang berasal dari Johor Bahru.

Dalam pada itu Adibah memberitahu, datuknya fasih berbahasa Tamil kerana pada masa dulu dia berjiran dengan masyarakat India di ladang.

“Kita patut belajar bahasa lain juga, macam Tamil dan Mandarin.

“Tengok orang dulu-dulu bersembang, dapat rasa keharmonian dalam masyarakat,” katanya ringkas.

sumber : mstar