“Bijak Ko Bro..”- Bapa Ini agak Size Baju Anak Dengan Cara ‘timang-timang’.. Mujur Ngam!

Hiburan Keluarga Santai

TUGAS membeli pakaian anak biasanya sinonim dengan kaum ibu.

Malah, kebanyakan bapa kebiasaannya hanya menuruti pilihan isteri memandangkan mereka lebih pakar dalam bab membeli-belah.

Terbaharu, aksi seorang bapa yang mengukur saiz baju anaknya dengan cara kreatif menjadi tular di laman Twitter.

Sewaktu video tular itu dirakam pada Jumaat lalu, Mohd Azizi Muhammad Yusof baru sahaja pulang dari Pulau Redang, Terengganu.

Tanpa kehadiran anak tunggalnya, Warda Saffiyah Mohd Azizi yang berusia dua tahun, dia terpaksa menimang baju kurung yang dijual bagi mengagak saiz baju anaknya itu.

Baju yang dibeli untuk anaknya dari Wakaf Che Yeh, Kelantan.

“Balik bercuti dari pulau di Terengganu, saya dan sepupu pergi ke Wakaf Che Yeh, Kelantan.

“Saya tengok baju kurung untuk budak. Saya call isteri untuk tanya saiz tapi dia tak angkat. Jadi saya terpaksa agak sendiri.

“Anak perempuan saya umur dua tahun. Tak besar tak kecil. Saya pegang baju buat-buat timang, agak-agak sahaja. Nasib baik ngam bila pakaikan,” ujar Azizi sewaktu dihubungi mStar pada Isnin.

Menurut jurugambar yang menetap di Shah Alam, Selangor itu, dia tidak menyangka video berkenaan berjaya menarik perhatian ramai.

Malah, dia mengakui sekadar berkongsi di Twitter secara suka-suka sahaja.

Anak perempuan saya umur dua tahun. Tak besar tak kecil. Saya pegang baju buat-buat timang, agak-agak sahaja. Nasib baik ngam bila pakaikan MOHD AZIZI MUHAMMD YUSOF

“Benda main-main sahaja, tak sangka viral. Saya nampak baju tu lawa, teringin nak beli untuk anak.

“Selain baju untuk anak, saya juga ada beli pakaian untuk isteri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, posting video berkenaan menerima lebih 286,000 tontonan di laman Twitter.

Azizi bersama isterinya, Nadhirah Abd Karim dan anak perempuan tunggal mereka, Warda.

Sehingga kini, ia turut menerima lebih 26,000 ulang kicau (Retweet).

Rata-rata netizen turut meninggalkan komen dan menyifatkan Azizi sebagai bapa yang kreatif dan menghiburkan.

“Muka serious je masa ditimang-timangnya baju tu. Adoi, ni mesti pikir kang aku salah size ngamok lak bini aku,” tulis @alyaaffendi.

“Hahaha… Macam-macam perangai mak bapak. Terhibur kami wehh,” tulis @Hirolee12.

“Aku pun selalu buat macam ni walaupun dah berapa kali beli. Tapi bila orangnya tak ada kat sebelah mesti kena imagine dan gayakan macam ni,” tulis seorang lagi netizen.

Sumber: mstar