Bolehkah Ziarah Kubur Pada Hari Raya, Ini Nasihat Dr Noor Hisham..

Semasa Tempatan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti kunjung-mengunjung dan menziarahi kubur pada Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM tidak akan mengeluarkan dasar atau prosedur operasi standard (SOP) tambahan menjelang Aidilfitri ini.

Katanya, sambutan hari raya tahun ini perlu dibuat di luar kelaziman dan berbeza.

“Memang ada kelaziman kunjung-mengunjung dan ziarah kubur setiap kali menjelang hari raya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

“Tetapi, kali ini di luar kelaziman dan kita kena lihat cara bagaimana kita merayakan Aidilfitri kali ini dengan cara tiada kunjung-mengunjung atau menziarahi kubur.

“Apa yang penting kita kena putuskan jangkitan dan kalau boleh beraya secara tertutup iaitu sesama keluarga saja dan kurangkan aktiviti berkunjung dan kalau boleh jangan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM, Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, KKM bukan mengeluarkan dasar tetapi lebih berbentuk nasihat kepada individu dan keluarga supaya jangan amalkan kunjung-mengunjung dan menziarahi kubur pada tahun ini.

“Hanya tahun ini saja dan jika kita boleh patuh kepada nasihat KKM, kita boleh putuskan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat kita.

“Sebab Covid-19 masih ada di dalam komuniti, jadi kalau kita terdedah dan membawa pulang virus ke rumah dan kita menjangkiti mereka yang berisiko tinggi.

“Jadi kami menasihatkan kepada setiap individu, keluarga dan masyarakat untuk pastikan kita jaga kita, kita jaga keluarga kita dan kita jaga masyarakat.

“Ini adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya di pihak kesihatan dan kerajaan, tetapi setiap individu dan keluarga perlu ambil iktibar dan jaga diri sendiri,” katanya.

sumber : hmetro

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tak benar ziarah kubur pagi raya

IPOH – [DIKEMAS KINI] Umat Islam di negeri ini tidak dibenarkan menziarahi tanah perkuburan pada pagi Aidilfitri nanti sepertimana kebiasaan kerana dikhuatiri meningkatkan risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, larangan itu tertakhluk di bawah aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang perayaan ini sepertimana dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ketetapan kita sama seperti dibuat MKN dan kita nasihatkan orang ramai agar tidak berkumpul di tanah perkuburan.

“Kebiasaan di tanah perkuburan ini orang akan menziarah dalam tempoh lama dan ada kemungkinan duduk secara rapat sebab kebanyakan kubur berada hampir antara satu kubur dengan kubur yang lain.

“Kalau dalam satu masa sampai beratus orang datang, sudah jadi situasi orang ramai berkumpul dan boleh merebak jika di situ ada wabak,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti menziarahi kubur sewaktu Aidilfitri seolah-olah sudah menjadi adat, sedangkan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.

“Ziarahlah pada hari lain, sekarang ni kalau duduk di rumah dan membacakan doa dan ayat al-Quran, pahala pun dapat,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memberi kelonggaran bagi aktiviti ziarah tanah perkuburan pada Ramadan dan Aidilfitri dengan hanya menetapkan 20 individu dalam satu-satu masa.

 

Umat Islam di Pulau Pinang dilarang melakukan aktiviti ziarah ke tanah perkuburan ketika hari raya bagi mengelak penularan COVID-19.

Larangan itu juga susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang perlu dipatuhi bukan sahaja penduduk di negeri ini, bahkan seluruh negara.

PKPB: Umat Islam Pulau Pinang dilarang ziarah kubur

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata umat Islam diminta bersabar dan dinasihati supaya patuh pada larangan demi menjaga kemaslahatan, sekali gus mengelak diri daripada ditimpa musibah.

“Amalan menziarah kubur ini hukumnya sunat sahaja, justeru disarankan supaya umat Islam menundakan aktiviti ini.

“Minta semuanya bersabar dan teruslah patuh pada PKPB bagi memutuskan rantaian COVID-19,” katanya selepas Majlis Penyerahan Replika Kunci Rumah kepada lima keluarga asnaf di Kampung 20, Penaga di sini, hari ini.

Mengenai kebenaran solat Jumaat, Ahmad Zakiyuddin berkata, Pulau Pinang hanya membenarkan 15 individu dalam kalangan ahli jawatankuasa kariah masjid.

“Panduan untuk mendirikan solat Jumaat sedang disiapkan dan akan diguna pakai setiap ahli jawatankuasa masjid pada minggu ini.

“Umat Islam lain diminta akur dan faham akan keadaan semasa,” katanya.

sumber : bharian