“Demi Faizal Tahir, saya berhenti kerja dan pindah ke Malaysia” – Takaaki Terry

Hiburan Tempatan

JEJAKA Jepun yang pernah tular menyanyikan lagu Assalamualaikum Dunia iaitu Takaaki Terry, 24, mengambil risiko pertaruhkan masa depannya dengan berhijrah ke Malaysia.

Nama Takaaki mula menjadi perhatian setelah klip videonya mendendangkan lagu tersebut menjadi tular sehingga ‘memaksa’ penyanyi asal, Faizal Tahir terbang ke Jepun bagi menjejakinya.

Usaha Faizal itu membuahkan hasil apabila dia berjaya menemukan Takaaki dan membawanya pulang ke Malaysia.

“Sebelum ini saya bekerja dalam bidang pemasaran dan kini sudah meletakkan jawatan demi menunaikan impian bergelar penyanyi.

“Saya amat meminati lagu-lagu nyanyian Faizal selepas diperkenalkan oleh Noh Salleh. Bagi saya, vokal dan karya nyanyiannya sangat bagus.

“Sebab itu saya sanggup berhenti kerja dan pindah ke sini untuk fokus dalam bidang nyanyian,” ujarnya.

Takaaki berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang akhbar dan pelancaran single pertamanya, Konnichiwa Dunia hasil ciptaan Faizal dan Mike Chan.

Pemuda itu tidak menjangka, hanya dengan meminati lagu-lagu nyanyian Faizal, akhirnya dia mencapai impian sebagai seorang penyanyi.

“Lebih menarik, impian itu dapat ditunaikan di Malaysia, bukannya di negara sendiri, Jepun,” tambahnya. – MHE TV