Erwin Dawson Pilih Jadi Penghantar Makanan Sepanjang PKP

Lawak & Seram

TIDAK suka merungut atau menagih simpati, pelakon kelahiran Singapura yang mencipta nama di Malaysia, Erwin Dawson kini bekerja sebagai penghantar makanan di Singapura sebagai alternatif mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Erwin berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia dia memilih untuk pulang ke Singapura dan melakukan pekerjaan yang boleh memberi manfaat kepada dirinya.

“Masalah akan selalu datang, tapi saya tak suka nak mengeluh atau marah. Bagi saya, masing-masing ada masalah sendiri dan lebih baik berfikiran positif.

“Melihat bapa, abang, adik dan kakak ipar yang bekerja sebagai penghantar makanan, saya juga berminat untuk sertai sama selain boleh mencari wang lebih. Lebih menyeronokkan lagi, saya menghantar makanan menggunakan basikal. Secara tidak langsung pekerjaan ini adalah satu senaman untuk diri saya daripada duduk di rumah saja,” katanya.

ERWIN Dawson

Menurut Erwin, selepas hampir sebulan bekerja sebagai penghantar makanan dia belum lagi menyentuh wang simpanannya, malah dia berasa seronok kerana pekerjaan itu tidak memenatkan.

“Kerja ini mudah dan rileks. Setiap hari hampir 20 kilometer saya akan mengayuh basikal untuk menghantar makanan di merata tempat. Saya anggap pekerjaan ini adalah satu gaya hidup yang sihat.

“Kita pun tak boleh jangka berapa lama wabak ini akan berlarutan. Jika ia berpanjangan untuk tempoh beberapa bulan, saya mungkin akan bosan duduk di rumah saja kerana tidak dapat melakukan sebarang aktiviti di luar. Sekurang-kurangnya pekerjaan ini saya boleh memperoleh pendapatan sehari sebanyak 50 sehingga 100 Dolar Singapura dalam tempoh lima ke tujuh jam bekerja.

“Selain itu, saya juga dapat meluangkan masa bersama keluarga berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana sibuk dengan komitmen kerja di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui ada yang mengenalinya ketika menghantar makanan kepada pelanggan walaupun memakai penutup mulut dan hidung.

“Mereka sangat peramah dan tidak memandang negatif pun dengan pekerjaan yang saya lakukan sekarang. Malah mereka seronok melihat dan ada yang ingin bergambar,” katanya.

sumber : hmetro