Gelagat Ketua Keluarga Berkhutbah Pegang Kayu Pancing, Batang Pelita..Apakah Hukum Sebenarnya?

Santai Semasa Tempatan

 

Semalam, viral gelagat sesetengah ketua keluarga atau suami yang menyampaikan khutbah hari raya.

Namun, apa yang mencuit hati adalah idea kreatif mereka menggantikan tongkat khutbah dengan objek yang lain.

Antara yang digunakan adalah rotan, kayu, batang pancing dan tidak kurang juga yang menggunakan pedang.

Persoalannya. apakah sebenar hukum dan maksud sebenar khatib memegang tongkat semasa menyampaikan khutbah?

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, khatib dari sudut bahasa membawa maksud individu yang bercakap di hadapan sekumpulan manusia.

Seperti individu yang menyampaikan ucapan di masjid dan juga selainnya.

Menurut kenyataan tersebut, antara perkara yang disunatkan semasa khutbah adalah memegang tongkat, pedang, atau busur anak panah.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakam bin Hazan.

“Imam Al-Nawawi juga pernah berkongsikan pendapat ashab al-Syafi’eyyah yang menyatakan bahawa sekiranya khatib tidak menemukan pedang, tongkat, dan seumpamanya maka hendaklah khatib itu menenangkan tangannya.

“Iaitu dengan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri atau dia melepaskan sahaja kedua tangannya dan tidak menggerak-gerakkan tangannya. Tujuannya adalah untuk mencapaikan kekhusyukan dan menghalang dari melakukan perbuatan yang sia-sia,” katanya.

Sehubungan itu, menurut laman berkenaan, hukum memegang tongkat semasa berkhutbah adalah sunat.

“Disunatkan memegang tongkat dengan tangan kiri manakala tangan kanan memegang bahagian mimbar.

“Perbuatan tersebut bertujuan untuk menghasilkan ketenangan dalam penyampaian kepada para jemaah. Meskipun begitu, tidak ada masalah sekiranya khatib berkhutbah tanpa memegang tongkat.

“Namun dia disarankan untuk meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri, bagi membentuk posisi tubuh yang menenangkan atau boleh sahaja untuk khatib melepaskan kedua tangannya ke bawah semasa berkhutbah,” katanya.

Anda boleh lihat penjelasan penuh di sini.

sumber : astro gempak