
Natipah Abu wanita hebat, namanya tidak asing lagi di media sosial kerana sering berkongsi kehidupan sehariannya menguruskan anak-anak yatim dan golongan yang tidak berkemampuan dalam meringankan beban mereka.
Terbaru, kisahnya mendapat perhatian orang ramai malah pihak atasan dalam mencari dana bagi menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Prajurit Muda untuk anak jagaannya, Mohd Hakimi Idrus yang merupakan seorang anak yatim piatu.
Impian beliau hanya satu, untuk meraikan ‘kemenangan’ Hakimi yang sejak dulu bercita-cita untuk bergelar anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan menunaikan janjinya kepada Hakimi untuk membawa semua adik-adiknya di rumah anak yatim ke kem tersebut.
Harapan Puan Natipah itu bagaimanapun telah didengari pihak KD Sultan Ismail sendiri dan dengan berbesar hati, pihak tersebut membantu melaksanakan impian besar itu.
Besar maknanya buat Puan Natipah dan anak-anak ketika hasrat tersebut disambut baik pihak Kapal Diraja Sultan Ismail (KDSI).
Perjalanan dan persiapan ke perbarisan itu dikongsi dari sehari ke sehari melalui Facebook miliknya. Kebaikan ramai pihak membuatkan segalanya berjalan dengan lancar. Menurut Puan Natipah, semua kos makanan di Johor telah disumbang oleh rakyat johor serta beberapa pihak antaranya rakan di Facebook dan pemilik sebuah restoran di Serdang.
Muhamamad Hakimi Idrus berjaya menamatkan latihan perajurit muda di Padang Kawad KD Sultan Ismail di Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih, Johor.
Kisah Muhammad Hakimi turut mendapat perhatian netizen sejak dia dimasukkan ke Pertubuhan Anak Yatim Kuala Muda setelah kepergian ibu dan ayahnya hampir 10 tahun lalu.
Menurut Puan Natipah, Hakimi dan abang-abangnya dulu menginap di sebuah rumah usang yang menjadi tempat perlindungan buat mereka empat beradik. Perkongsian Puan Natipah tentang keluarga Hakimi mendapat perhatian rakan Facebook, dan kesusahan yang dialami keluarga itu didengari pihak atasan yang akhirnya meluluskan sebuah rumah bernilai RM50 ribu buat mereka.
KD SULTAN ISMAIL ….
“ Benar …
Kamu bukan lahir dari rahim kami tetapi kamu lahir dari kasih sayang kami. Benar juga …kamu bukan darah daging kami tetapi setiap darah yang mengalir di nadi kami ada kamu.
Di depan mata kami, kamu telah meniti saat kedewasaan sejak sekian lama. Kami tidak mungkin dapat menggantikan cinta-kasih ibu kandung yang telah pergi itu namun kami mungkin bisa mengisi segenap ruang hatimu dengan kasih-sayang kami.“
~ MAK & MAMA ~
Sumber: Natipah Abu, KD Sultan Ismail