“Isteri Dia Naik Tangan Dulu, Saya Terkejut Automatik Pertahankan Diri”- Tular Video Pergaduhan, Ini Kisah Sebenar.

 

“YANG perempuan naik tangan dulu tu berani sebab ramai lelaki backup dia, tu pasal berani… yang lelaki ramai pula nak jadi hero.”

Demikian komen netizen mengenai tindakan seorang wanita yang dilihat memukul seorang pemuda berbaju hitam sebelum dua lelaki lain turut menyerang lelaki sama dalam satu video yang tular di media sosial pada Ahad.

Rakaman berdurasi 43 saat itu mendapat lebih 1 juta tontonan di Twitter selepas dikongsi seorang netizen di Twitter.

Malah identiti dua pemuda dan wanita dalam video itu turut didedahkan netizen di laman media sosial.

Rupa-rupa ketiga-tiga individu itu pernah terpalit dengan kontroversi rakam dan pukul seorang doktor yang didakwa ada hubungan sulit dengan isteri salah seorang pemuda itu.

Pemuda berbaju hitam yang juga pemandu kereta jenis Honda BR-V, Shazmie Mohammad Nadziri ketika dihubungi mStar menjelaskan perkara sebenarnya yang berlaku dalam video itu.

 

Tweet mengenai video pergaduhan itu turut mendapat pelbagai respons di kalangan netizen.

“Waktu tu saya dari Raub nak menghala ke KL. Saya nak masuk ke jalan utama dari jalan simpang. Masa tu memang tengah jammed. Then kereta Ford sebelah saya, tak bagi saya masuk.

“Masalahnya kat depan tu dah double lane, nak tak nak saya kena masuk juga. Saya pun bagi signal slow-slow masuk sikit. Bila saya jalan ke depan, kereta tu pun ke depan juga.

“Waktu tu dia terus hon sampai satu tahap saya rasa tak pelah. Bagi jelah dia jalan lagi pun tengah jammed so sama je pun. Saya pun bagi je dia pergi depan dan saya pun hon balik,” katanya.

Namun pemuda berusia 26 tahun itu berkata, pemandu wanita itu tiba-tiba keluar dari keretanya sebelum bertindak agresif.

“Saya pun stop kereta. Saya bukalah tingkap ingat dia nak gaduh mulut. Biasalah kan. Tiba-tiba dia tarik window shades saya, lepas tu dia buang dan terus marah.

“Saya pun terus buka pintu kereta saya dan keluar. Serentak tu juga, dua lelaki dalam kereta tu pun keluar sekali. Waktu tu gaduh mulut, tiga-tiga hentam saya.

“Then perempuan tu kata saya kurang ajar sangat, kemudian dia datang dekat saya dan terus lempang muka saya. Memang terasa sakit sikit sebab dia pakai cincin,” katanya yang turut mendedahkan cermin matanya patah selepas terjatuh semasa pergelutan itu.

Image may contain: 5 people, people smiling, people sitting

Shazmie berkata dia terpaksa menendang wanita itu sebagai tindak balas automatik untuk mempertahankan dirinya.

Selepas diserang, Shazmie berkata dia terpaksa menendang wanita itu kerana mahu mempertahankan dirinya.

“Saya terkejut sebab bagi saya itu dah tindakan agresif. Dia guna physical contact. Saya pun kalau dah guna kekerasan macam tu, saya kenalah mempertahankan diri saya.

“Kiranya itu defensive action saya… saya terus balas. Wanita tu cuba nak lari, tapi saya ke tepi sebelum terajang dia.

“Lepas saya terajang dia, suami dan anak dia terus attack saya. Masa tulah berlaku pergelutan. Bila kawan saya pegang saya untuk elak berlaku pergaduhan, waktu tu suami dan anak wanita itu ambil kesempatan jatuhkan dan sepak-sepak saya hingga berterusan gaduh mulut.

“Saya cool down dan biar je. Pergaduhan tu terlerai macam tu jelah,” katanya tanpa mengetahui dua pemuda itu pernah tular sebelum ini.

Pada masa sama, Shazmie berkata dia nyaris membuat laporan polis mengenai insiden itu sebelum dia dihubungi suami kepada wanita tersebut.

“Bila sampai KL saya dapat mesej daripada follower saya di Twitter beritahu posting pasal saya di Facebook. Saya baca posting tu, memang cerita dia berbeza… timbul fitnah terhadap saya.

 

Shazmie berkongsi gambar pertemuannya dengan suami dan wanita tersebut di Facebooknya.

“Saya terus screenshot. Dia kata isteri dia tolak saya, tiba-tiba saya tendang isteri dia. Dia dah start fitnah, saya pun screenshot  sebagai bukti.

“Tapi tiba-tiba saya dapat panggilan daripada suami wanita tu dia kata nak jumpa dan selesaikan masalah antara kami. Kebetulan saya jumpa klien malam tadi dan mereka berdua datang jumpa saya,” katanya.

Menerusi pertemuan tersebut pada malam Ahad, perunding hartanah itu berkata mereka saling bermaafan atas apa yang berlaku.

“Kami bersalaman. Suami dia beritahu masing-masing tengah panas. Dia minta maaf, saya pun minta maaf sebab tahu saya salah sebab tendang isteri dia tu di perut.

“Itu kiranya self defensive code. Sesiapa pun regardless of gender automatik akan pertahankan diri mereka apabila diserang. Kalau main dengan api dia kena terima panas dia.

“Jangan main play victim. Lagi pun dah terbukti dia yang memulakan dulu. Memang logik saya ambil tindakan pertahankan diri. Saya tak nak jadi macam kes doktor kena pukul yang viral dulu,” katanya.

Malah Shazmie berkata dia memaafkan wanita itu dan suaminya kerana teringat dengan kata-kata ayahnya.

Image may contain: 3 people, people smiling, people standing

Shazmie memaafkan wanita itu dan suaminya di atas insiden yang berlaku petang Ahad lalu.

“Saya dah tanya ayah dan pesannya kalau orang tu minta maaf terima je. Tak rugi kalau kita maafkan. Lagipun saya tak ada masalah nak buat macam tu.

“Memandangkan mereka dah minta maaf saya pun tak nak panjangkan lagi isu tu walaupun saya tahu boleh menang kes ni. Dalam video tu pun saya nampak teruk tapi tak pelah saya maafkan mereka.

“Saya tak simpan sebarang dendam. Saya tak nak fikir apa-apa mengenai insiden tu lagi, just nak move forward dan fokus dengan apa yang saya buat,” katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen suami kepada wanita itu tidak berjaya apabila panggilan tidak berjawab.

Malah anak tiri lelaki itu turut enggan memberikan sebarang komen berkaitan insiden tersebut.

 

sumber : mstar

error: Content is protected !!