“Kami rindu anak abam, terkilan kerana akaun media sosial telah di sekat kak ipar”- Ali Puteh

Semasa Tempatan

Pelawak yang juga adik kepada Allahyarham Abam Bocey iaitu Ali Puteh bersama keluarga kakak iparnya sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi berhubung dakwaan membolot harta arwah Abam. Berikutan daripada kejadian itu, hubungan kekeluargaan antara kedua-dua belah pihak telah retak dan menyebabkan mereka tidak berhubung antara satu-sama lain.

Terbaru, Ali Puteh meluahkan rasa rindu ingin melihat wajah anak lelaki arwah abangnya iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang baru sahaja berusia 10 bulan.

Rindu anak Abam

Menerusi laporan yang dipetik daripada Berita Harian, Ali Puteh mengakui bahawa dia dan keluarganya kini sangat merindui anak saudaranya itu. Lebih menyedihkan apabila mereka sekeluarga langsung tidak berkesempatan untuk melihat wajah anak kecil itu memandangkan keluarga kakak iparnya itu telah menyekat mereka sekeluarga di media sosial.

Menceritakan kisah itu, Ali Puteh memberitahu dia tidak menyalahkan mana-mana pihak malah dia faham akan situasi yang dilalui oleh kedua-dua keluarga lebih-lebih lagi selepas apa yang pernah berlaku sebelum ini.

Saya faham, selepas apa yang berlaku, situasi menjadi semakin sukar. Cuma terkilan apabila tidak dapat berjumpa anak saudara. Hendak tengok di media sosial mereka tidak boleh sebab sudah disekat.

Ingin jernihkan keadaan

Dalam pada itu, Ali Puteh meluahkan rasa syukur kerana akhirnya terubat sedikit rindu kepada anak saudaranya dengan melihat foto dan video yang dimuatnaik oleh bekas pemandu arwah Abam di media sosialnya.

Insya-Allah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, saya berhasrat bertemu isteri arwah dan keluarganya untuk menjernihkan keadaan. Kami mahu melihat anak buah yang amat dirindui itu.

Tambahnya lagi, sebelum ini juga dia pernah merancang untuk berjumpa dengan ahli keluarga kakak iparnya itu untuk menyelesaikan kemelut antara mereka tetapi sayangnya niat Ali Puteh terbantut selepas mereka tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain kerana telah disekat.

Sumber: Berita Harian