“Parenting Done Right”-Video Ajar Anak Kutip Sampah Di Putrajaya Tular Hingga Ke Media Luar Negara.

Hiburan

Mahu atau tidak, kita perlu akui bahawa kesedaran masyarakat di negara ini berkenaan kebersihan alam sekitar masih lagi rendah. Bukan sahaja berkaitan pencemaran, tetapi sampah sarap masih lagi bertaburan di sisi-sisi jalan raya, koridor bangunan atau laluan pejalan kaki di negara ini.

Usaha untuk melakukannya bukan hanya terletak di bahu kerajaan sahaja, tetapi kita sebagai rakyat juga boleh memupuk nilai kebersihan pada orang lain, termasuk pada ahli keluarga sendiri dari rumah lagi.

Mungkin itulah yang cuba dilakukan oleh sebuah keluarga yang sedang bersenam di satu kawasan yang dipercayai bertempat di Putrajaya ini.

Apa yang menarik ialah sambil mereka bersenam, keluarga ini turut mengambil kesempatan untuk membersihkan kawasan sekitar laluan mereka berlari ketika itu.

Video mengenai perbuatan keluarga ini telah dikirimkan oleh Perbadanan Putrajaya di Facebook mereka pada awal bulan lalu, namun ia hanya menjadi tular baru-baru ini.

Keluarga itu bukan sahaja mengutip sampah yang berada di laluan mereka, namun mereka juga dilihat masuk ke kawasan semak di sisi laluan semata-mata untuk mengutip sampah.

Tambahan pula, keluarga ini disertai oleh dua orang anak yang masih kecil dan tindakan dua orang dewasa dipercayai ibu bapa mereka itu jelas mendapat pujian netizen dan mengakui perbuatan keluarga ini wajar dicontohi semua orang.

Malah, video ini telah tular sehingga ke luar negara apabila dikongsikan beberapa akaun antarabangsa termasuk @IlmFeed di Twitter.

Sumber: FB Perbadanan Putrajaya via siakap keli