“Qaleesya Menangis Mahu Tinggal Dengan Kami”- Bapa Rayu Anak Angkat Yang Dibela 7 Tahun Pulang Ke Pangkuannya.

DI sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Kebahagiaan yang sedang dikecapi tiba-tiba hilang dalam sekelip mata.

Itulah kisah sedih dilalui suami isteri apabila mereka hanya sempat bersama anak angkatnya, Armanda Qaleesya selama tujuh tahun sebelum kanak-kanak terbabit diambil ibunya, awal bulan ini.

Image result for qaleesya anak angkat

Ceritanya bermula apabila Sazlyzam Ariffin, 37, dan isteri, Faridah Mat Desa, 30, mengambil Qaleesya sebagai anak angkat selepas perkahwinan mereka selama lima tahun tidak dikurniakan anak.

Sazlyzam berkata, ketika diserahkan kepada mereka, Qaleesya berusia dua bulan dan ibunya yang dipercayai warga asing menghantarnya di rumah pasangan terbabit di Klang pada April 2012.

“Ada rakan memperkenalkan kami dengan wanita terbabit yang kebetulan mahu mencari penjaga kepada Qaleesya. Kami bersetuju mengambilnya sebagai anak angkat.

“Wanita terbabit datang membawa Qaleesya dalam keadaan sehelai sepinggang bersama susu dalam paket, botol susu dan beberapa keping lampin pakai buang.

“Selepas itu, wanita terbabit menghilangkan diri dan kami cuba mencarinya berdasarkan nama diberikan di sekitar Klang dan Sijangkang, tapi malangnya usaha kami gagal.

“Sehingga pada 3 Julai lalu, wanita itu muncul sekitar 8.30 malam dan memaklumkan mahu mengambil anaknya semula,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kisah Sazlyzam mendapat perhatian pelbagai pihak selepas dia memuat naik gambar dan status mengenai pengalaman itu di Facebook miliknya.

Dalam status berkenaan, dia menulis:

“Mungkin ini gambar terakhir dia dengan keluarga aku. Kami semua cuba untuk tersenyum untuk ambik gambar ini, setelah menangis.

“Takut2 ini gambar terakhir aku dengan dia..sebab dia akan pergi jauh seberang laut..jadi takut kalau ini gambar terakhir biarlah sesama tersenyum untuk gambar terakhir ini.

“Setelah 7 tahun aku besarkan dia, hari nie, mak dia datang balik dan mintak balik anak dia..sekarang aku tgh duduk dalam bilik aku menangis seorang diri terkenang kan dia..macam macam aku terpikir pasal dia…”

Selain itu, Sazlyzam turut memuat naik video Qaleesya ketika berusia dua tahun dan kanak-kanak terbabit begitu petah berbicara dengan dia dan isterinya.

Sazlyzam berkata, memandang tiada sebarang dokumen diberikan kepadanya sebelum ini, dia ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapat hak penjagaan Qaleesya.

“Akhirnya, kami mendapat hak penjagaan selepas JKM mengeluarkan surat. Qaleesya sebenarnya warganegara Malaysia kerana pihak hospital pernah mengesahkan statusnya serta suntikan di bahu kiri.

“Petang semalam (kelmarin) saya berjaya menghubungi wanita terbabit. Saya sempat berbual dengan Qaleesya dan dia menangis mahu tinggal bersama kami.

“Bayangkan perasaan kami ketika itu, walaupun dia anak angkat, tapi kami tetap menganggap sebagai anak sendiri. Malah, hubungannya dengan anak lelaki kami, Rayqarl Haziq, 2, amat rapat.

“Bagaimanapun, saya cuba untuk mendapatkan semua hak kerana saya ada surat daripada JKM. Apa yang saya tahu, Qaleesya adalah warganegara kerana bapanya rakyat Malaysia,” katanya.

Justeru, Sazlyzam dalam perbincangan dengan peguam untuk menuntut kembali Qaleesya memandangkan mereka adalah penjaga sebenarnya.

“Kami tidak minta apa-apa pun, kami mahu kamu kembalikan Qaleesya,” katanya.

 

sumber : harian metro

error: Content is protected !!