“Saya yakin dia akan balik dan selamat, itulah doa saya tanpa henti “- Luahan Isteri Acap

Hiburan

Tidak berhenti mengharap dan terus berdoa kerana berkeyakinan suaminya akan kembali dengan selamat.

Itulah suara hati isteri Mohamad Ashraf Hassan atau Acap, Hamizah Mohd Ali, 27, apabila mengenangkan keadaan suaminya sehingga ke saat ini masih hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, 23 Mac lalu.

“Saya yakin dia (Acap) akan balik dan selamat, itulah doa saya tanpa henti.

“Setakat ini masih belum ada apa-apa update (perkembangan terkini), doakan suami saya (selamat kembali),” kata Hamizah, 27.

Selepas mendiamkan diri tanpa sebarang komen atau memberikan kenyataan kepada mana-mana pihak sejak hari pertama kehilangan Acap, akhirnya Hamizah tampil meluahkan isi hatinya kepada NSTP hari ini.

Hamizah berkata, suaminya itu tidak menunjukkan sebarang reaksi pelik terhadap ahli keluarga sebelum menyertai larian itu kerana ia bukan pertama kali dia menyertai larian seumpama itu.

“Dia normal macam biasa sebab ini bukan event (acara) pertama kali disertainya, untuk larian Gopeng Ultra Trail, ini baru pertama kali dia sertai,” katanya yang juga bertugas sebagai Juruteknologi Makmal di Hospital Muar, Johor.

Ditanya mengenai anaknya Aisyah berusia setahun lebih yang sudah 24 hari tidak menatap wajah ayahnya, Hamizah berkata, anaknya itu setiap hari akan bertanyakan mengenai ayahnya yang dipanggil ‘daddy’.

“Dia memang rapat dengan ‘daddy’ dia, setiap hari cari tapi saya tetap positif, saya cakap ‘daddy’ balik malam ini.

“Setiap hari saya akan cakap macam itu, kata-kata kita pun satu doa” katanya.

Hamizah turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan netizen di laman sosial yang menyebarkan berita kononnya kehilangan Acap berkait dengan masalah keluarga antara mereka berdua .

Menurutnya, berita yang disebarkan itu jelas satu fitnah dan memberitahu bahawa kedua-dua mereka tiada masalah keluarga.

“Semua yang baik saya anggap sebagai doa, semua yang tidak baik saya positif, mungkin itu cara Allah nak tambah pahala suami saya, mungkin mempercepatkan suami saya dijumpai.

“Saya cuba positif sebaik mungkin, masa inilah dugaan Allah itu datang dari pelbagai sudut, sentiasa ambil positif, bersangka baik dengan Allah,” katanya.

 

sumber : Berita Harian