Sentuhan terakhir Pak Ngah Buat Syafiq Farhain Terharu.

Hiburan

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syafiq Farhain, 24, terharu apabila berpeluang merakamkan karya terakhir yang dihasilkan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

Syafiq berkata, karya itu begitu istimewa kerana sudah lama dia mengimpikan untuk merakamkan lagu yang mendapat sentuhan arwah.

“Memang saya pernah memasang impian untuk merakamkan lagu irama Malaysia yang ditulis Pak Ngah.

“Saya ingatkan hasrat itu hanya tinggal harapan sehingga pihak pengurusan memberitahu, arwah Pak Ngah sempat menghasilkan sebuah lagu untuk saya sebelum meninggal dunia.

“Saya sangat terharu menerima sentuhannya kerana arwah adalah komposer hebat yang pernah menghasilkan lagu untuk nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris,” katanya.

Ditemui pada sesi rakaman single duet, Manis Manis Cinta yang menemukannya dengan Baby Shima di studio Pak Ngah Production, di sini, Syafiq berkata, dia bangga apabila mendapat kepercayaan itu.

Syafiq juga tidak menafikan, proses rakaman lagu itu agak mencabar tanpa kehadiran Pak Ngah.

“Saya tidak berpeluang bertanya sendiri dengan Pak Ngah apa yang diinginkannya untuk memastikan penyampaian saya lebih berkesan.

“Lagipun, lagu irama Malaysia agak berbeza daripada genre yang sering saya bawakan hingga saya terpaksa meminta rakaman diulang beberapa kali kerana sukar menghayatinya.

“Jika Pak Ngah masih ada, boleh juga saya minta tunjuk ajar. Namun, saya anggap usaha ini sebagai percubaan untuk membawakan lagu irama Malaysia dengan cara sendiri,” katanya.

Allahyarham Pak Ngah menghembuskan nafas terakhir pada usia 60 tahun di Batam, Indonesia pada 25 September lalu akibat kegagalan jantung.

Mengulas kerjasamanya dengan Baby Shima, Syafiq berkata, dia mengagumi bakat besar yang ada dalam diri penyanyi yang sedang mencipta nama di Indonesia itu.

“Baby Shima mempunyai suara yang lunak dan mampu menyanyikan lagu irama Malaysia dengan baik.
“Ketika diusulkan untuk merakamkan lagu duet, saya hanya nampak dia kerana kami pernah bekerjasama ketika menyertai program Big Stage.

“Lagipun, kami sama-sama sedang membina nama dalam industri hiburan, jadi lebih mudah untuk kami berbincang.

“Mana mungkin saya yang masih baharu mahu memilih nama besar untuk merakamkan lagu duet bersama,” katanya.

This image has an empty alt attribute; its file name is syafiq.png

sumber : berita harian