” Sepanjang Jadi Pemandu Grab Tidak Pernah Terfikir Pengalaman Seperti Ini, Ini Adalah Pengalaman Manis Buat Aku.”

Hiburan

Sesuatu aku nak kongsi dengan rakan-rakan driver semua. Sejak dari awal tahun lalu aku jadi driver, belum pernah sekali pun aku ada masalah dengan mana-mana rider (pelanggan). Maki hamun, jauh sekali. Mengeluh kerana tambang rendah pun hanya berbisik dalam hati sahaja.

Belum pernah lagi aku post di sini tentang apa-apa isu panas. Tetapi kali ini, tergerak hati nak cerita kisah pada Khamis minggu lalu.

Aku dapat rider perempuan Cina tua, bertongkat, dari The Intermark ke Alpha Angle Wangsa Maju. Sampai di destinasi, rider tanya sama ada aku boleh menunggu dia membeli barang dapur di Jusco?

Aku berfikir seketika, dengan jalan sesak di luar sana, aku kata aku boleh tunggu, tiada masalah. Bila dia tahu aku sanggup tunggu, dia meminta aku menemani dia beli barang dapur. Sebabnya dia bertongkat, nak bawa troli agak payah. Kira macam kuli jugalah aku dibuatnya. Tetapi, siapa kisah? Bukan orang tahu pun aku siapa.

Jadi aku temankanlah dia. Apa yang menariknya ialah, dalam ketika dia mengambil barang-barang yang mahu dibeli, dia menawarkan aku ambil sekali barang-barang keperluan aku sendiri terutamanya barang-barang rumah.

Pada mulanya aku menolak, tetapi bila dia paksa aku siap ketuk-ketuk kaki aku dengan tongkat dia, akhirnya aku terpaksa jua mengalah. Aku ambillah juga, banyak tak banyak jugalah. Tetapi cukuplah barang-barang dapur untuk aku sekeluarga.

Beras, ayam, susu, makanan kucing, tisu, maggi bagai. Total semua untuk barang aku sahaja RM213. Manakala barang-barang dia pula RM300.

Alhamdulillah, bagi aku ini rezeki Allah nak bagi.

Kata perempuan tua itu, dia belanja sebab aku sudi membantu dan tidak berkira dengan dia. Seriously, selama aku buat job as a driver ini, tak pernah terfikir aku akan berhadapan dengan pengalaman-pengalaman seperti ini. Ini adalah pengalaman manis buat aku.

Dan buat rakan-rakan semua, layanilah rider anda dengan baik. Seteruk-teruk rider kita dapat hari ini, inshaAllah ada rider yang paling bagus yang Allah bagi untuk kita nanti.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih.

Ulasan…Niat penentu keberkatan kerja

Pekerjaan bukan sekadar bagi memenuhi keperluan hidup semata-mata tetapi ia mestilah selari dengan syariat supaya rezeki yang diterima diberkati Allah SWT. Ikuti kupasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam program Islam Itu Indah.

Dalam program Islam Itu Indah memberi kesempatan kepada pendengar untuk memahami makna sebenar di sebalik perkataan berkat, terutama menerusi pekerjaan yang majoriti individu dewasa akan memperuntukkan satu pertiga daripada hari dengan aktiviti tersebut. Keberkatan inilah yang menjadi asas dalam kehidupan dengan iman dan takwa.

Menyorot kaedah mencapai keberkatan iaitu iman dan takwa, ulama mentakrifkan iman sebagai sesuatu yang diikrarkan dengan lisan, diakui dengan hati kebenarannya dan dibuktikan dengan perbuatan.

Bekerja bukan sekadar mencari rezeki, tetapi untuk mencari rezeki halal yang sangat dituntut oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya: “Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.” (Surah al-Baqarah ayat 172)

Rasulullah menegaskan juga dalam sabdanya: “Mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami). Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal berkait dengan Allah SWT.

Apabila kerja diniatkan untuk menyara dan membiayai keluarga bagi seorang lelaki dan suami hakikatnya ia adalah kewajipan. Wajib itu takrifan dalam syariat adalah sesuatu yang dibuat dapat pahala dan berdosa meninggalkannya di sisi Allah SWT.

sumber : layansudah