“Tuhan, tolong tutup auratku, tiba-tiba datang nurse menutup kepalaku dengan tuala”- Kisah Ustazah Shadiya Pertahan Aurat Saat Kemal4ngan.

Hiburan

Ustazah Shadiya Abbas dijemput Ilahi pada jam 5.05 pagi Ahad, 5 April 2020 kerana asma. Pemergian pendakwah secara tiba-tiba ini ternyata mengejutkan muridnya serta kaum keluarga. Rakan arwah yang juga personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya mengimbas semula kemalangan ngeri yang dialami arwah pada tahun 2018 dan apa yang diminta arwah ketika itu.

Baju digunting jururawat

TUHAN, TOLONG TUTUP AURATKU.

Semasa kemalangan itu berlaku, aku mendengar seorang jururawat berkata kepada temannya yang aku mesti ditukarkan baju. Jubah dan tudung penuh darah.

Jururawat tu berkata kepadaku;
“Dik, kita gunting baju awak ni ye.”
Saya akur. Kini badan saya ditutup dengan sehelai kain.

Kemudian seorang jururawat menarik stokin saya. Saya kata;
“Nurse, jangan. Kaki saya sejuk.” Sebenarnya, itu sahaja aurat yg mampu saya jaga.

Dalam ICU tu saya tidak tahu keadaan wajah saya. Tapi saya tahu cedera sahaja. Saya boleh bercakap, walaupun saya tak tahu bibir kanan saya dah koyak. Saya tahu rambut saya terdedah. Doktor lelaki dan perempuan bergilir-gilir meninjau keadaan saya. Sehingga seorang doktor lelaki mengambil gambar saya dan menunjukkannya kepada saya. “Maaf ye. I terpaksa tunjuk muka U. Cedera teruk. Kita kena buat plastic surgery hari ni juga.”

Jururawat tutup kepala dengan tuala

Saya merenung skrin telefonnya. “Doktor, nanti kasi hidung saya macam U.” Saya katakan kepada seorang Dr perempuan India yang memberi kata-kata kekuatan kepada saya. Ketawa Dr India tu. Manis. “You kan sakit, boleh buat joke.” Dalam keadaan mata saya berbalam melihat cahaya lampu, saya disorong keluar. Saya dengar suara-suara manusia yang kebanyakannya lelaki. Hati saya galau.

Kemudian saya disorong masuk ke dalam sebuah bilik. Saya seorang diri. Sunyi dan sejuk di dalam bilik.
Saya merintih. Bukan kerana sakit, tetapi kerana saya TIDAK BERDAYA. “Tuhan, aku tidak berdaya. Aku redha tapi aku malu kerana auratku terdedah. Tutuplah kepalaku Ya Allah.” Sedang saya berbisik-bisik tanpa suara, datang seorang jururawat. “Ustazah, saya tutup kepala ustazah dengan tuala ye. “Jururawat yang saya tak nampak wajahnya, meletakkan kain atas kepala saya. Dia mengemaskannya sehingga menutup leher saya.

Saya sebak. Tuhan… Engkau Maha Memelihara. Engkau Maha Penjaga. Dalam keadaan aku berkuasa aku berusaha taat kepada-Mu. Dalam keadaan aku tiada daya ampunilah aku. Engkau tidak akan menghampakan hamba-Mu
Walau beribu derhaka. Berjuta peluang engkau buka agar kembali kepada-Mu. Aku tak boleh hidup tanpa-Mu.

Imbasan Peristiwa;
Shadiya
Hospital Besar Ipoh
April 2018

Sumber: Shadiya Abbas, Fedtri Yahya