Ustaz Mohd Kazim Elias Dimasukkan Semula Ke Hospital

Santai Semasa

IPOH: Setelah mendapat nasihat daripada pihak pakar perubatan, pendakwah bebas terkenal, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias dimasukkan semula ke sebuah hospital swasta di sini semalam.

Perkara itu disahkan oleh abang beliau, Datuk Mohd Najmuddin Elias Al-Hafiz melalui laman Facebooknya hari ini.

Menurut Najmuddin, adiknya dimasukkan ke wad bagi lebih memudahkan pihak hospital mengenal pasti punca kesakitan yang beliau alami.

“Proses MRI dan skop telah selesai dijalankan, masih menunggu keputusannya, apa pun keadaannya petang ini agak baik sikit dari sebelum ini.

“Biarlah beliau berehat sementara kerana doktor mengatakan beliau kurang rehat,” katanya.
GAMBAR yang dikongsi Ustaz Kazim di Facebook dengan ucapan terima kasih kepata rakannya yang memberi nasihat dan petua. FOTO Facebook Dato' Ustaz Mohd Kazim Elias
Najmuddin berkata, hari ini adiknya sudah boleh tidur sedikit, cuma masih lemah akibat kesan bius.

“Kami ahli keluarga dan peminat-peminatnya pasti gembira dan lega dengan perubahan positif hari ini.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan mengambil berat keadaan beliau,” ujarnya.

Najmuddin berkata, pihak keluarga amat menghargai segala doa orang ramai dan amat berharap agar doa itu dapat diteruskan.

“Allah sahaja yang mampu membalasnya. Bukan publisiti yang kami cari, cuma saya memikirkan bahawa beliau adalah milik orang ramai.

“Maka saya kena beritahu perkembangannya untuk maklumat tuan puan jua, terima kasih banyak-banyak,” katanya lagi.

Sebelum ini ustaz kazim di laporkan mengalami sakit belikat dan pinggang serta kembung perut dan beliau sudah dibenarkan pulang.

Bagaimanapun selepas balik ke rumah Ustaz Kazim masih mengadu sakit pada bahagian belakang dan perutnya juga masih kembung.

sumber : awani